Accessibility Tools

Skip to main content
Kemas Kini Automatik dalam Joomla 5.4 & 6.0
Joomla!

Kemas Kini Automatik dalam Joomla 5.4 & 6.0

01 November 2025
Peluncuran Joomla 5.4 dan Joomla 6.0 pada 14 Oktober 2025 membawa satu inovasi penting dalam ekosistem Joomla: fungsi kemas kini automatik (automatic updates) untuk sistem core. Ciri baharu ini membolehkan pemasangan Joomla kekal terkini secara konsisten tanpa memerlukan tindakan manual. Satu perkembangan besar dari segi keselamatan, kecekapan dan kemudahan penyelenggaraan laman web.

Mengapa Kemas Kini Automatik Diperkenalkan?

Walaupun Joomla telah berkembang selama 20 tahun tanpa mekanisme ini, permintaan daripada komuniti semakin meningkat. Fungsi ini bukan sahaja memenuhi permintaan pengguna, tetapi juga menyelesaikan satu isu keselamatan yang kritikal.

Setiap kali versi Joomla baharu dikeluarkan untuk membaiki kelemahan keselamatan, penyerang (attackers) akan menganalisis patch tersebut untuk mengesan kelemahan yang telah diperbaiki. Setelah dikenal pasti, mereka akan membangunkan skrip automasi untuk menyerang sebanyak mungkin laman web yang belum dikemas kini.

Tempoh masa antara keluarnya patch dan pembinaan skrip serangan adalah sangat singkat bagi kerentanan kritikal, ia boleh berlaku dalam masa 10–12 jam sahaja. Tanpa kemaskini segera, risiko laman web digodam adalah tinggi.

Dengan adanya automatic updates, Joomla kini boleh memastikan bahawa laman web menerima kemas kini keselamatan tepat pada masanya, mengurangkan risiko eksploitasi oleh penyerang.

Bagaimana Sistem Automated Updates Berfungsi?

Hakikatnya, fungsi ini menggunakan keupayaan yang sudah sedia ada dalam Joomla:
  • Joomla boleh mengesan kemas kini baharu
  • Joomla boleh memuat turun dan mengekstrak versi baharu
  • Joomla boleh menjalankan post-update scripts
Sebelum ini, semua langkah ini memerlukan tindakan manual dalam backend.

Melalui sistem baharu ini, setiap laman mendaftar dengan server pusat di joomla.org dan menerima satu “key”. Dengan key tersebut, server pusat boleh menyemak status kesihatan laman dan mengaktifkan proses kemas kini seperti pengesanan versi, muat turun dan pengekstrakan.

Penting untuk difahami!

Server joomla tidak “push” fail kemas kini ke laman web. Sebaliknya, laman web itu sendiri menjalankan proses kemas kini.

Ini merupakan elemen keselamatan yang penting: jika infrastruktur automated update diserang sekalipun, tindakan paling teruk yang boleh berlaku hanyalah server memaksa laman web memasang kemas kini yang memang telah tersedia. Risiko ini masih boleh diterima dan jauh lebih selamat.

Syarat dan Had Fungsi Kemas Kini Automatik

Fungsi ini diaktifkan secara lalai untuk pemasangan Joomla yang baharu. Namun bagi laman yang dikemas kini daripada versi lama ke 5.4 atau 6.0, fungsi ini ditutup secara default dan perlu diaktifkan secara manual oleh pentadbir.

Keperluan asas bagi automatic updates termasuk:
  • Laman web mesti boleh diakses secara umum (bukan localhost/intranet).
  • Menggunakan Standard Update Server.
  • Tetapan minimum stability mestilah Stable.
  • Joomla mesti menjalankan versi 5.4 atau lebih baharu.
  • PHP, database, sistem operasi dan extensions mesti serasi.
  • Sangat disarankan agar laman mempunyai sistem backup yang lengkap.

Implementasi Teknikal

Fungsi automated updates menggunakan sistem Joomla Webservices, dengan endpoint baharu yang dibina untuk com_joomlaupdate. Di pihak joomla.org pula, infrastruktur ini dijalankan melalui aplikasi khusus yang turut dibuka sebagai open source.

Cabaran Pembangunan

Walaupun pembinaan auto updater itu sendiri tidak terlalu kompleks, cabaran terbesar adalah membangunkan proses pengesanan kemas kini yang benar-benar selamat. Daripada fasa idea awal hingga implementasi penuh, pembangunan fungsi ini mengambil masa hampir lima tahun, menunjukkan komitmen tinggi pasukan Joomla terhadap keselamatan dan kebolehpercayaan.

Kesimpulan

Dengan pelaksanaan automatic updates bermula Joomla 5.4 dan 6.0, projek Joomla menetapkan standard baharu dari segi keselamatan, penyelenggaraan dan pengalaman pentadbiran laman web. Ciri ini sangat berguna kepada pentadbir, developer dan organisasi yang memerlukan pemasangan Joomla yang sentiasa stabil, terkini dan bebas risiko tanpa memerlukan tindakan manual yang kerap.

Daripada pengalaman saya menguruskan laman web sektor awam, saya melihat bahawa fungsi automatic updates ini walaupun sangat berguna, tidak semestinya sesuai untuk diaktifkan dalam semua persekitaran kerajaan. Ia tetap satu inovasi besar, tetapi realiti teknikal dan polisi operasi di agensi kerajaan menjadikan pendekatan manual yang dikawal lebih selamat dan praktikal.

Beberapa pertimbangan penting yang sering menjadi kekangan:
  1. Polisi dalaman agensi
    Banyak agensi tidak membenarkan sebarang kemas kini dilakukan secara terus dari internet. Ada yang mewajibkan kemas kini dibuat melalui VPN, atau hanya boleh dijalankan apabila berada dalam rangkaian pejabat. Ini menjadikan auto update sukar dilaksanakan.

  2. Konfigurasi firewall yang ketat
    Kebanyakan agensi menggunakan firewall enterprise yang memblok akses ke luar kecuali domain tertentu yang diluluskan. Jika update server Joomla tidak berada dalam whitelist, auto update memang tidak akan berjaya.

  3. Sekatan rangkaian dan persekitaran terasing
    Ada agensi yang mengamalkan segmented network (internet terhad) atau persekitaran semi-offline. Dalam keadaan ini, auto update tidak praktikal.

  4. Versi server yang tidak serasi
    Tidak semua pelayan kerajaan berada pada versi PHP, MySQL/MariaDB atau OS yang memenuhi keperluan minimum Joomla 5.4/6.0. Dalam situasi sebegini, auto update boleh menyebabkan risiko kegagalan atau konflik.
Secara keseluruhan, walaupun automatic updates merupakan satu langkah maju dari sudut keselamatan dan penyelenggaraan, sektor awam memerlukan pendekatan yang lebih berhati-hati. Pelaksanaan manual yang terancang, diuji, dan mematuhi polisi dalaman masih menjadi pilihan yang lebih selamat dan stabil untuk kebanyakan agensi.